KUALA LUMPUR - Perasaan waspada menyelubungi penuntut Malaysia yang berada dalam kawasan 'Hurricane Sandy' di Amerika Syarikat terutama mereka yang pertama kali melalui pengalaman itu.
  
Penuntut tahun tiga di Stevens Institute of Technology, New Jersey, Fauzan Afandi berkata seramai 50 orang penuntut Malaysia di pusat pengajian itu terpaksa bergelap ekoran gangguan elektrik akibat ribut Sandy.
  
"Kami agak cemas ketika bekalan elektik putus kerana dalam notis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, sekiranya bekalan elektrik putus, ia akan mengambil masa beberapa hari untuk kembali pulih," katanya dalam emel kepada Bernama.
  
Fauzan, yang berada di sana semasa Hurricane Irene melanda tahun lepas, berkata beliau telah membuat persiapan mencukupi menghadapi suasana kali ini seperti menyediakan lampu suluh, bateri serta mengecas bateri telefon sepenuhnya.
  
"Kami sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan menjimatkan sumber yang ada, terutamanya bateri telefon," katanya.

"Kami hanya menggunakan internet melalui pelan data telefon bimbit kami," kata penuntut jurusan kejuruteraan mekanikal itu yang berusia 22 tahun dan berasal dari Kuala Perlis.
  
Menurut Fauzan, penuntut senior sentiasa berhubung dengan penutut lain terutama penuntut baru dan penuntut perempuan untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa.
  
"Mujur masing masing mempunyai bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi.
  
"Ada pelajar yang ketakutan sampai sukar untuk tidur. Kami berusaha mententeramkan perasaan masing-masing kerana angin sudah mulai reda walaupun paras air masih membimbangkan.
  
"Oleh kerana ini pertama kali bagi sesetengah pelajar ditimpa musibah ketika berjauhan daripada keluarga, keadaan agak sukar bagi mereka.

"Dengan musibah yang kami alami kali ini dapat mengeratkan lagi ikatan persahabatan sesama kami.
  
"Pihak MSD (Malaysian Students Department)sentiasa berhubung dengan wakil pelajar di sini dari semasa dan semasa, walaupun mereka di sana pun dalam keadaan menghadapi bencana," katanya.
  
Menurut Fauzan, perintah berkurung juga telah dikuatkuasa dan tidak pasti sehingga bila.
  
"Menurut emel dan SMS yang dihantar oleh pihak berkuasa tempatan dan pihak universiti, tempoh berkurung berkuatkuasa sejak jam 6 petang tadi, dan kami perlu menunggu arahan seterusnya berikutan cuaca yang tidak menentu sekarang.
  
"Kami diarahkan untuk tinggal di dalam rumah dan menjimatkan sumber sedia ada...lampu suluh dan telefon bimbit adalah penting dan kami sentiasa diingatkan untuk sentiasa berada dalam kumpulan," katanya. - Bernama